
Dilahirkan sebagai Syed Othman bin Syed Omar (al-Yahya) pada 13 November 1938, di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan.
Beliau berkelulusan Sarjana Muda Sastera (1979) dan Sarjana Sastera (1982/83) dari Universiti Sains Malaysia. Kemudian pada tahun 1994/95 beliau memperoleh Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Setelah lulus Ijazah Sarjana, S. Othman berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia selama dua tahun. Mulai tahun 1983, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah di fakulti Pendidikan/ ATMA. Jawatan terakhirnya yang disandang ialah profesor madya hingga beliau bersara pada tahun 1997. Kemudian beliau berkhidmat sebagai pensyarah kontrak di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1997-1999).
S. Othman Kelantan aktif menulis puisi, cerpen, novel serta esei/kritikan. Beliau gemar meneroka persoalan yang mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah. Novel yang dihasilkannya ialah 12 buah novel dewasa dan empat buah novel remaja. Antaranya ialah Pengertian (1966), Pertentangan (1967), Angin Timur Laut (1969), Perjudian (1973), Juara (1976), Perwira (1980), Ruang Perjalanan (1989), Wajah Seorang Wanita (1990), Ustaz (1991), Nagogho Astana (1997), dan Orang Kota Bharu (2003). Beliau juga menghasilkan lima buah antologi cerpen persendirian. Selain menulis cerpen dan novel, S. Othman Kelantan turut menghasilkan esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan penulis baik pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976), Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa). Kesungguhannya menghasilkan karya dan mengabdikan dirinya dalam ujana kesusasteraan mewajarkan beliau dipilih untuk menerima hadiah seperti Hadiah Peraduan Mengarang Novel DBP 1962, Pelangi (sagu hati), Hadiah Sastera Malaysia 1972, 1973, 1974 (cerpen) dan 1984 (esei), S.E.A. Write Awards (1990), Pingat Bakti (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan (1973), Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N.) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (1974), Anugerah Tokoh Sastera Negeri Kelantan (2003), dan Anugerah Sastera Negara (2003). (Sumber: Dewan Bahasa dan Pustaka)